Monday, October 30, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (10)

Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin.
(sambongan 29/10/2006).
v. Kalki pergi ke taman yang indah, ini akan diikuti oleh yang mana tempat itu adalah merupakan tempat yang pengikutnya
Terbukti baginda (Nabi Muhammad SAW) pergi ke Madinah indah dan subur di tanah Arab. Tempat ini juga penganut Islam, selepas atau sebelum mengambil haji di Mekkah, mereka juga melawat Madinah.
vi.. Kalki membawa kebenaran dan kepalsuan akan hilang
Ini juga terbukti bila Nabi Muhammad SAW menawan Mekkah, sebagaimana dilaporkan oleh Prof. Sejarah Kristian, Hitti, Pada part I, Chapter 8, p. 118: pada akhir Januari, 630, penaklukan Kota Mekkah selesai, Nabi Muhammad telah memusnahkan sehingga dikatakan sampai 360 patung di situ.[1] Di samping itu, diwujudnya peraturan zakat di mana golongan yang berada dikenakan 2.5 % daripada simpanan tahunan. Zakat ini adalah untuk kebajikan umat Islam.
vii. Kalki akan mewujudkan enam prinsip dalam aktiviti
Ini sesuai sekali dengan Rukun Islam yang lima: Mengucap dua kalimah Syahadah (Percayakan Allah SWT), sembahyang, puasa, zakat, haji, dan satu lagi sebagai seorang pemerintah kerajaan yang melaksanakan jihad dalam menegakkan Islam.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
1. Dr. Ved Prakash Upadday, “Muhammad in the Hindu Scriptures”, (Translated into Banglali by, Pro. Ashit Kumar Bandhopadday, translated into English by Muhammad Alamgir, Published by, A.S.Noordeen, Third. Ed., Kuala Lumpur, 2003, hal. 136..

Sunday, October 29, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (9)

Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin
(sambongan pada 17/10/2006)

Di samping itu dalam kitab suci Hindu Mahabharata juga ada dinyatakan tentang Nabi Muhammad SAW ini melalui watak yang dikenali dengan nama Kalki. Buktinya adalah sebagaimana berikut:

i. Dalam Mahabrata Kalki disebut sebagai pemimpin agama dan pemerintah (king)
Dalam menghuraikan watak Nabi Muhammad sebagai pemimpin agama dan pemerintah ini, Prof. K.S.Ramakrishna Rao, Government College for Women, Mysore, Karnataka, menulis dalam bukunya The Prophet of Islam (hal. 17) menyatakan bahawa Muhammad sebagai nabi, pahlawan, peniaga, negarawan, pemidato, reformis, pembela anak yatim, pembela abdi, pembela wanita, hakim, dan dalam aspek aktiviti kemanusiaan baginda adalah jaguh istimewa.

ii. Kalki pemimpin agama di samping memimpin peperangan
Nabi Muhammad sudah semestinya sebagai pemimpin paling utama bagi agama Islam, dan baginda juga sebagai pemimpin Perang: Badr (623), Uhud (625) dan Khandaq (627).

iii. Kalki sebagai Ketua Agama dan Ketua Negara.
Dalam konteks ini Hindu, Judas (agama bagi orang Yahudi) dan Kristian yang begitu lama terdahulu darinya, tidak mempunyai negara secara tersendiri tetapi Nabi Muhammad SAW ada negara Islam di mana baginda adalah Ketua Pemerintah.

iv.. Kalki mengalahkan musuhnya, kemudian mengambil Haji (pilgrimage)
Ini betul berlaku kepada Nabi Muhammad SAW iaitu setelah baginda mengalahkan musuhnya di Mekkah, baginda mengambil haji di mana baginda telah wafat 3 bulan kemudiannya di Madinah.
(bersambong)

Tuesday, October 17, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (9)

Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin
(sambongan pada 16/10/2006)

c. 10 kalungan bunga

Dalam Atharvaveda juga menyebut 10 kalungan bunga akan diberikan kepada Narashangsa. Bunga ini melambangkan kesetiaan dan kasih sayang seseorang. Ini sebenarnya wujud dalam sejarah Nabi Muhammad SAW bahawa ada 10 sahabat karibnya yang amat setia dan kasih kepadanya serta mempertaruhkan nyawa dalam melindungi Nabi daripada sebarang ancaman. Mereka itu ialah sepertimana berikut:
1. Saidina Abu Bakar Al-Sidiq, Khalifah Pertama
2. Saidina Umar ibn Al-Khattab, Khalifah Kedua
3. Uthman ibn Affan, Khalifah Ketiga
4. Ali Abu Talib, Khalifah Keempat
5. Talha bin Abdullah, pahlawan Islam
6. Zubir bin ‘Awwam,
7. Abu Ishak bin Abu ‘Akkas
8. Said bin Zayd
9. Abdul Rahman bin Auf
10. Abu ‘Ubaidah bin Jarrah.

d. 100 keping emas

Dalam Atharvaveda juga ada menyatakan bahawa Narashangsa akan diberikan 100 keping emas. Kepingan emas ini melambangkan lelaki yang mempunyai sifat yang hebat. Mereka yang terlibat dengan pertahanan melibatkan agama dikaitkan dengan lambang kepingan emas. Sesungguhnya ini juga berlaku pada para sahabat yang mati syahid dalam peperangan mempertahankan Islam. Mereka seramai 100 orang dikuburkan di tempat yang khas dikenali dengan nama Ashbus Suffa.

Monday, October 16, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (8)

Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin
(sambongan pada 13 /10/2006)

i. Persamaan selanjutnya

Selain daripada apa yang diperkatakan di atas ada lagi perkara-perkara yang amat perlu diambil perhatian iaitu pemberian kepada Narashangsa perkara-perkara berikut:

a. 10, 000 ekor lembu

Dalam Atharvaveda ada dinyatakan Tuhan akan memberikan Narashangsa sebanyak 10,000 ekor lembu. Dalam konteks masyarakat Hindu, lembu adalah binatang yang paling dihormati. Ini disebut dalam secara ‘metaphor’ di mana ia melambangkan watak yang baik. Ini sebenarnya sesuai dengan peristiwa di mana Nabi Muhammad SAW bersama dengan pengikutnya seramai 10,000 orang dari kota Madinah memasuki kota Mekkah (630 m). Masa itu bukan untuk peperangan dan tiada pun menumpahkan darah.

b. 300 ekor kuda

Dalam konteks 300 ekor kuda ini pula, kuda melambangkan ketangkasan dalam berlari yang sering dikaitkan dengan peperangan. 300 ini sebenarnya melebihi sedikit angka 300 tetapi kurang daripada 400. Dalam Veda ada menyebut Narashangsa ini diberikan 300 ekor kuda, juga dapat dikaitkan dengan peperangan Badr di mana Nabi Muhammad SAW dengan tenteranya seramai 313 orang dapat menumpaskan musuh seramai 1,000 orang.

Friday, October 13, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (7)

Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin
(sambongan pada 12/10/2006)

vi. Personaliti yang lemah lembut
Dalam Rig Veda menjelaskan bahawa Narashangsa adalah seorang yang kacak dan lemah lembut. Ini juga terbukti bahawa fakta sejarah telah menjelaskan yang rupa paras Nabi Muhammad ini adalah segak dan lemah lembut dan amat menarik personalitinya. Malah penulis bukan Islam sendiri pun mengakui hakikat ini (Ibid., hal. 13).

vii Penegah melakukan dosa
Adalah juga dijelaskan bahawa Narashangsa adalah seorang yang akan menegah daripada melakukan dosa. Seseorang yang melakukan dosa, beliau akan menolong orang itu supaya tidak lagi melakukan dosa pada masa depan. Ini adalah agak bersamaan sekali dengan Nabi Muhammad SAW yang menegah manusia membuat dosa dan mendorong manusia membuat baik dan beribadat kepada Allah SWT. Kelakuan buruk seperti judi, minum arak dan berzina semuanya diharamkan dalam Islam. Ini juga menunjukkan bahawa apa yang dikatakan Narshangsa yang akan lahir itu sebenarnya adalah Nabi Muhammad SAW.

viii. Mempunyai dua belas orang isteri
Dalam Atharvaveda iaitu juga kitab suci Hindu juga menyebut tentang Narashangsa ini di mana ada dijelaskan bahawa Narashangsa akan mempunyai dua belas orang isteri. Ini juga betul-betul berlaku pada Nabi Muhammad SAW di mana baginda sebenarnya mempunyai dua belas orang isteri:
1. Khadijah bt Khowaylid
2. Saudah bt Zam’a
3. Aishah bt Saidina Abu Bakar
4. Hafsah bt Saidina Umar
5. Zainab bt Khuzayma
6. Ummi Salma bt Abu Umayyah
7. Zainab bt Jahsh
8. Juwayriya bt Haarith
9. Rayhana bt Zayd
10. Ummi Habibah bt Abu Sufian
11. Safiyah bt Huyay
12. Maimunah bt Haarith

Ini juga terjadi tepat dengan apa yang dinyatakan dalam kitab suci Hindu tentang Narashangsa yang dijangkakan mempunyai dua belas orang isteri. Tidak ada dalam sejarah dunia pemimpin agama yang mempunyai dua belas orang isteri. Ini kata Dr.Ved Prakash Upadday adalah sah, tidak ada yang lain lagi selain dari Nabi Muhammad SAW.(Ibid. Hal. 114)

Thursday, October 12, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (6)

* Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin
(sambongan pada 9/10/2006)

iv. Wahyu (Revelation)

Dijelaskan juga bahawa Narashangsa akan mendapat pengetahuan secara wahyu. Nabi Muhammad juga mendapat ajaran Islam adalah secara wahyu. Malah sesuatu perkara yang belum terjadi pun kiranya diwahyukan baginda akan tahu. Contohnya semasa berlakunya peperangan di antara kerajaan Parsi dan kerajaan Rom di mana kerajaan Rom telah kalah. Apabila dapat perkhabaran ini kepada Nabi Muhammad, baginda telah dapat wahyu dan menjelaskan bahawa kerajaan Rom akan menang peperangan beberapa tahun lagi. Didapati betul iaitu pada tahun 627 dalam peperangan Nineveh kerajaan Rom telah menang. Ini boleh dirujuk kepada Al-Qur’an surah Ar-Ruum, 30: 2-4,
“Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun, bagi Allah SWT lah urusan sebelum dan sesudah mereka menang. Dan di hari itu (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman.”

v. Pengetahuan daripada Tuhan

Dalam Vedas pula Narashangsa dikenali sebagai Kavi. Makna Kavi ada dua: satu sebagai penyair dan satu lagi sebagai orang yang menerima pengetahuan dari Tuhan. Ini juga sebenarnya ada pada Nabi Muhammad (SAW). Al-Qur’an surah As Shaffaat, 36-37 berbunyi:
Dan mereka berkata: “Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila. Sebenarnya dia (Muhammad) telah datang membawa kebenaran dan membenarkan rasul-rasul sebelumnya.”
Ini bermakna tepat sekali apa yang disebut dalam Vedas itu.

Sunday, October 08, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (5)

a) Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin

Dalam kitab tua Hindu ada disebut Narashangsa. Dr.Ved Prakash Upaddhay telah menghuraikannya bahawa Narashangsa itu ialah Nabi Muhammad SAW yang akan lahir di suatu hari nanti. Ini terbukti dalam Rig Veda 1:13:3, 1:18:9, 1:106:4, 1:142:3, 2:3:2, 3:29:11, 5:5:2, 7:2:2, 10:64:3, 10:182:2 dan 19:70:2 (1) Alasan membuktikan Narashangsa yang akan lahir itu Nabi Muhammad mengikut Dr. Ved Prakash adalah sepertimana berikut:

i. Narashangsa = Yang Terpuji = Nabi Muhammad SAW
Di mana-mana tempat dalam kitab Vedas, disebut juga nama Eelit. Dalam nota kaki pada salah satu daripada kitab Rigveda yang diterbitkan, Eelit bermakna ‘Yang Terpuji’. Muhammad adalah dalam bahasa Arab maknanya dalam bahasa Melayu ialah ‘Yang Terpuji’. Maknanya Narashangsa dan Eelit adalah mempunyai erti yang sama, iaitu ‘Yang Terpuji’.

ii. Tempat yang Narashangsa akan lahir adalah di kawasan padang pasir
Ini sudah tentu, buktinya jelas sekali. Nabi Muhammad dilahirkan di Mekkah pada tahun 570. Ayahnya bernama Abdullah dan ibunya bernama Aminah. Mekkah cuacanya panas, terletak di tengah padang pasir di negara Arab.

iii. Kualiti personaliti
Dalam Rig Veda, dijelaskan bahawa Narashangsa yang akan lahir itu mempunyai personaliti yang cukup hebat. Ia amat disayangi oleh ramai manusia. Stanley Lane Poole, menulis tentang Speeches of Muhammad (MacMillan, 1982) menjelaskan bahawa siapa yang melihatnya akan menghormatinya. Siapa yang mendekatinya, akan menyayanginya. Mereka akan mengatakan ia tidak pernah melihat orang seperti ini sebelum dan sesudahnya.(2)

_____________________________________________________

1. Dr. Ved Prakash Upadday, “Muhammad in the Hindu Scriptures”, (Translated into Banglali by, Pro. Ashit Kumar Bandhopadday, translated into English by Muhammad Alamgir, Published by, A.S.Noordeen, Third. Ed., Kuala Lumpur, 2003, hal. 5.
2. Ibid, hal.12.

Friday, October 06, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (4)

· Islam Selepas Kewafatan Nabi Muhammad SAW
(sambongan daripada 4 /10/2006)

Perpaduan: Mazhab Sunnah–Syiah.

Pada tahun 1925, setelah negeri Makah dikuasai oleh Ibnu Sa’ud, sembahyang berjemaah di MASJIDIL HARAM itu dijadikan hanya satu kali di setiap waktu. Kata HAMKA, “Syukurlah Raja Abdul Aziz Ibn Sa’ud bertindak menyuruh satukan sembahyang kembali. Sekian lama Parsi (Iran) dengan Arab bermusuhan kerana berlainan mazhab, tetapi pada tahun 1931 ketika terjadi kongres Islam di Palestin, ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah mempersilakan Mujahid Mazhab Syiah yang terkenal dari Najaf (Iraq) menjadi imam sembahyang berjemaah, iaitu Maulana Al-Kasyif Al-Ghitha. Adakah ini satu masalah darurat?”

Pengajaran daripada ini, Islam boleh bersatu dan bekerjasama rapat di antara mazhab Sunnah dan Syiah. Dengan ini, semoga akan terlepaslah kongkongan jerat kaum orientalis untuk memecah-belahkan umat Islam seluruhnya. Malah Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 pecahan dan daripada itu hanya satu pecahan sahaja yang akan masuk syurga iaitu pecahan yang mengikuti kepada pegangan baginda (Nabi Muhammad SAW) dan sahabatnya.

Negara yang majoriti penduduknya Islam dan menamakan dirinya sebagai negara Islam telah pun ada muftinya masing-masing. Alangkah baiknya, sekiranya satu usaha dijalankan dengan gigih tanpa meletakkan unsur politik di hadapan, negara-nagara yang dikatakan negara Islam itu bermesyuarat bagi melantik seorang Mufti bagi negara-negara Islam sejagat (MUNNIS/Mufti Negara-Negara Islam Sejagat). Semoga dengan ini persoalan perbezaan agama dapat dicari titik persamaan yang perlu dikembangkan dalam keperbagaian aspek khusus bagi umat Islam sejagat. Kreteria untuk ini boleh dirangka dengan persetujuan bersama di antara para mufti yang telah pun wujud disetiap negara Islam hari ini. Begitu juga dari segi lokasi ibu pejabatnya, persetujuan untuknya pasti boleh diwujudkan.

Mungkin usaha ini buat masa ini dikatakan suatu idea yang agak keterlaluan. Biarpun begitu apa yang perlu diperhatikan ialah sesuatu perjalanan yang beribu-ribu batu itu ianya pasti dimulakan dengan langkah yang pertama.

Wednesday, October 04, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN (3)

ISLAM = AGAMA LAIN (3)

· Islam Semasa Nabi Muhammad SAW


Islam semasa kewujudan Nabi Muhammad SAW ini adalah berbeza dengan agama Yahudi di mana agama Yahudi beriman kepada Nabi Musa tetapi tidak beriman kepada Nabi Isa. Manakala orang Kristian pula berimankan Nabi Isa dan Nabi Musa, tetapi tidak berimankan Nabi Muhammad SAW, sedangkan orang Islam pula berimankan kepada nabi Musa dan Isa/Jesus dan para nabi sebelum mereka itu sebagai rasul-rasul Allah SWT sejak daripada nabi Adam alagi, di mana Nabi Muhammad SAW pula adalah sebagai nabi dan rasul yang terakhir yang menyempurnakan segala ajaran agama yang dibawa oleh semua nabi dan rasul sebelumnya. Bagaimanapun, semua pengikut para nabi dan rasul sebelum Nabi Muhammad itu adalah diakui sebagai seorang Muslim. Matinya mereka adalah sebagai seorang Muslim masa itu.
Islam semasa Nabi Muhammad SAW sebenarnya adalah sebagai kesinambungan daripada agama yang dibawa oleh para nabi dan rasul sebelumnya dengan dua aspek yang paling istimewa iaitu pertama, ia lebih lengkap dengan selengkap-lengkapnya sebagaimana yang wujudnya dalam Al-Qur’an, ada 114 surah; kedua ia tidak hanya untuk satu kaum sahaja sepertimana Islam para nabi dan rasul sebelumnya tetapi Islam semasa Nabi Muhammad SAW ini adalah untuk manusia sejagat. Untuk ini Tuhan berfirman:
Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”
(QS, Al-Anbia’:107)

· Islam Selepas Kewafatan Nabi Muhammad SAW

Islam selepas Nabi Muhammad SAW ini asasnya adalah sama dengan Islam sebelum Nabi Muhammad dan semasa Nabi Muhammad khususnya tentang ajaran Tauhid yang Tuhan itu Satu dan kita wajib mempercayaiNya sebagaimana yang dijelaskan oleh para nabi dan rasul yang disebutkan dalam Al-Qur’an yang antaranya Adam, Nuh, Idris, Musa, Ibrahim, Ismail dan seterusnya sehingga kepada Isa (Jesus) dan Muhammad.
Bagaimanapun, selepas beberapa abad ada cabang-cabang tertentu yang dibawa dalam Islam yang telah ditafsirkan mengikut fahaman para ulama yang masing-masing ahli dalam bidangnya. Umpamanya, wujud mazhab-mazhab dalam Islam seperti Hanafi, Hambali, Maliki dan Shafie . Keempat-empat mazhab ini dikenali dengan nama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bagaimanapun, asas penting dalam Islam iaitu Rukun Iman dan Rukun Islam adalah sama. Namun wujud juga mazhab Syiah yang agak jauh sedikit bezanya dengan mazhab-mazhab tadi. Dalam konteks ini, HAMKA menjelaskan bahawa empat imam bergilir setiap waktu bersembahyang jemaah di MASJIDIHARAM, Makkah kerana masing-masing pengikutnya tidak mahu berimamkan imam daripada mazhab lain, biarpun sesama Islam di kalangan Alhi Sunnah Wal Jamaah.
(Bersambong)

Monday, October 02, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN? (2)

· Islam Sebelum Nabi Muhammad SAW
(sambongan daripada 2 /10/2006)


QS, Surah Ali Imran, ayat 52 membuktikan Nabi Isa adalah seorang Muslim:
Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani Israel) berkatalah dia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah SWT?” Para hawariyyin (sahabat-sahabat setia) menjawab: “Kamilah penolong-penolong (agama) Allah SWT. Kami beriman kepada Allah SWT; dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri.”

QS , Surah Asy-Syura ayat 13 membuktikan bahawa semua nabi dan rasul yang diutuskan Allah SWT adalah berpegang kepada satu agama (Islam):
“Dia telah mensyariatkan kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.”

QS, Surah Al-Anbia’ ayat 92 pula Tuhan telah berfirman:
“Sesungguhnya (agama Tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.”

Tegasnya semua agama semenjak dari Nabi Adam dahulu sehingga kepada Nuh, Idris, Ibrahim, Ismail, Ya’kub, Isa dan Nabi Muhammad SAW semuanya agama berteraskan Tauhid (percayakan Tuhan itu Satu). Bagaimanapun, agama yang satu itu kemudiannya berpecah-belah. Allah SWT sendiri telah berfirman:
“Manusia dahulunya hanyalah satu agama, kemudian mereka telah berselisih. Kalau tidaklah kerana suatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulu, pastilah telah diberi keputusan di antara mereka, tentang apa yang mereka perselisihkan itu.” (QS, Yunus: 19)

Sehubungan dengan ini, sekali lagi Allah SWT menegaskan dengan FirmanNya:
Katakanlah (hai orang-orang mukmin): kami beriman kepada Allah SWT dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’kub, dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya.” (QS, Al-Baqarah: 36)

Sunday, October 01, 2006

ISLAM = AGAMA LAIN? (1)

Dalam konteks persamaan ini perlu ditinjau Islam sebelum Nabi Muhammad SAW, Islam semasa Nabi Muhammad SAW dan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

* Islam Sebelum Nabi Muhammad SAW

Islam sebelum Nabi Muhammad SAW sebenarnya bermula sejak Nabi Adam lagi. Sebenarnya Islam diseru oleh para rasul dan dibawa juga oleh para nabi yang ramainya sampai beribu orang. Ada di antara Hadis yang mengatakan 124,000 orang para nabi dan rasul 313 orang. Cuma yang disebut dalam Al-Qur’an adalah seramai 25 orang rasul sahaja iaitu Adam, Nuh, Idris, Shalih, Ibrahim, Hud, Lut, Yunus, Ismail, Ishak, Ya’kub, Yusuf, Ayyub, Shu’ib, Musa, Harun, Ilyasa’, Zulkifli, Daud, Zakaria, Sulaiman, Ilyas, Yahya, Isa dan Muhammad. Semua ajaran para nabi dan rasul itu menumpukan kepada Tauhid (percayakan Tuhan itu Satu), menyerah dan tunduk kepadaNya dengan cara membuat apa yang diseruNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Sehubungan dengan ini dalam Al-Qur’an ada beberapa surah membuktikannya sepertimana berikut:

Surah Yunus, ayat 72 membuktikan Nabi Yunus itu Muslim:
“Jika kamu berpaling (dari peringatanku), aku tidak meminta upah sedikit pun daripadamu. Upahku tidak lain hanyalah dari Allah SWT belaka, dan aku disuruh supaya aku termasuk dalam golongan orang-orang Muslim.”

Surah Al-Baqarah ayat 132 juga membuktikan Nabi Ibrahim dan anak cucunya adalah Muslim:
Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’kub. (Ibrahim berkata): “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah SWT telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”

Surah Yunus ayat 82 pula membuktikan Nabi Musa itu seorang Muslim:
Berkata Musa: “Hai kaumku, jika kamu beriman kepada Allah SWT, maka bertakwalah kepadaNya saja, jika kamu benar-benar orang yang berserah diri.”

(Bersambong)